Search

Pengertian Stress Dan Cara Mengatasinya


Pengertian Stress Dan Cara Mengatasinya

Stress adalah istilah payung yang merangkumi tekanan, beban, konflik, keletihan, ketegangan, panik, perasaan gemuruh, anxieti, kemurungan dan hilang daya pertimbangan.

Gejala stress ini terhasil apabila seseorang itu merasa yang keperluan melebihi dari keupayaan atau sumber yang ada pada dirinya.

Perasaan berkemampuan dan berkesan adalah mustahak pada seseorang individu. Menyedari yang diri adalah cekap dan efektif (dalam mencapai apa yang dihajati dan melaksanakan segala tanggungjawabnya) adalah prasyarat penting pada kebanyakan individu profesional dalam penerimaan diri, nilai diri yang positif dan kesejahteraan hidupnya. Jika kepentingan ini terlampau kuat dalam diri seseorang itu, maka ia akan lebih cenderung kepada stress yang dicipta dalam dirinya sendiri.

Reaksi stress adalah unik kepada individu itu. Apa yang kita definasikan sebagai stress, bagaimana kita beraksi kepada stress dan bagaimana baiknya kita mengawal stress adalah bergantung kepada bagaimana individu itu menerima dirinya dan orang lain. Seperti juga penerimaan seseorang itu kepada kebahagiaan dalam kehidupan, ianya adalah begitu subjektif.

Faktor persepsi adalah penting dan bermistri. Kerap kali apa yang dianggap racun kepada seseorang itu adalah madu pada orang lain. Sesuatu ransangan luaran yang identikal itu boleh mengasilkan pengamatan yang berbeza di antara dua individu yang berlainan dan seterusnya mengasilkan tindakbalas yang berbeza. Sebab itulah ada orang yang cepat merebut peluang kerana dia dapat melihat itu sebagai pembukaan kepada kejayaan, dan sebaliknya ada orang membiarkan peluang yang sama berlalu kerana ia melihatnya sebagai punca kepada kerugian atau kegagalan.

Bagaimana kita mengamati kehidupan adalah ditentukan oleh cara kita menerima diri sendiri. Oleh itu sesuatu realiti itu bukan dijadikan untuk kita, tetapi dibentuk oleh kita sendiri. Bergantung kepada diri seseorang, ada yang bangkit dengan cabaran dalam kesukaran kehidupan, ada yang menggelak, ada yang terus bergelumang dengan kesukaran dan ada yang terus hilang daya pertimbangan dengan manifetasi gangguan saraf, sistem kardiovaskular ataupun kecelaruan psikiatri.

0 comments:

Post a Comment